Timeline

One second builds up years

Institusi Raja

Posted by goldenborn on February 7, 2009

Soalan cepumas Buletin Utama Feb 07, 2009:

“Mampukah kita terima bahawa suatu hari nanti institusi Raja-raja Melayu hanya mampu ditatap dari buku?”

Pemerhatian dan pandanganku:

Selama ni pun kutatap dari buku. Belajar dari buku. Sejarah sekolah menengah. Yang pasti, orang Melayu zaman dahulu amat mengutamakan kuasa raja. Ketika itu, penjajah belum menguasai Tanah Melayu. Siapa lagi kalau bukan raja sebagai ketua. Siapa lagi kalau bukan sultan sebagai ketua masyarakat. Apa yang kutafsir, raja mahupun sultan dahulu kala menjadi ketua kepada masyarakat untuk memakmurkan negeri, menarik pedagang asing. Lihat sahaja sejarah Melaka yang kita tahu terkenal dengan kisah Kesultanan Melayu Melakanya. Benar, tanah kita sendiri. Melaka berkembang sehingga empayar Melaka meliputi Semenanjung Malaysia kini, Singapura dan sebahagian Sumatera. Pengisytiharan Islam sebagai agama rasmi negeri oleh Sultan Muzaffar Syah pasti ada implikasi terhadap hubungan dagang Melaka dengan negeri lain. Sekurang-kurangnya kita pernah dengar nama Puteri Hang Li Po yang berkahwin dengan Sultan Mansur Syah. Melaka berada di kemuncak apabila ekonomi melalu perdagangan menjadi nadi utama kemasyhuran Melaka. Ketelusan menjalankan tugas oleh mereka yang terlibat dalam Sistem Pembesar Empat Lipatan membawa Melaka ke tahap klimaks kewujudannya. Kita tahu istilah lingua franca. Bahasa Melayu merupakan bahasa yang tidak asing ketika zaman kemuncak Melaka.

Namun setiap apa yang di puncak, pasti akan jatuh jua. Lihat saja Kerajaan Abbasiyah yang menjadi puncak kegemilangan Islam, begitu juga ketika Melaka di bawah Sultan Mahmud Syah. Kisah iri hati, perebutan kuasa raja, mahupun penggantian posisi Tun Perak, mahu dimudahkan – pergolakan politik menjadi titik mula kejatuhan. Ya, politik Sistem Empat Lipatan yang kurang stabil. Ini dilihat sebagai suatu peluang emas oleh Portugis yang berjaya menjatuhkan Melaka pada 1511.

Ketika Melaka dikuasai Portugis, Johor berkembang menjadi empayar di bawah Tengku Alauddin Syah. Johor mengambil alih tugas Melaka dalm erti kata perdagangan dan kemakmuran. Pasti kita ingat nama Batu Sawar, lokasi perdagangan yang cukup sibuk pada kurun ke-18 & 19.

Namun seperti biasa, Johor jatuh juga.

Aku tak bermaksud untuk mengajar subjek sejarah. Cukup sekadar mengimbas kembali sejarah tanah kita sendiri dengan ringkas (mungkin tidak). Namun, ini tidak bererti sejarah dunia luar tak perlu kita ketahui.

Signifikasi:

Dalam apa jua sejarah peradaban dunia, sejarah pembentukan sesebuah negera, pasti kita dapat lihat faktor yang membawa institusi itu mencapai puncak kegemilangannya. Faktor paling jelas, kestabilan politik. Andai Sistem Empat Lipatan masih stabil, tiada perebutan kuasa bendahara, tiada rasa “aku patut ada kuasa itu”, tidak terlintas pun keinginan mutlak untuk menguasai tanpa fikir masyarakat yang diketuai, pasti Melaka melalui zaman kegemilangannya dengan lebih lama. Pasti Portugis kalah andai sultannya sungguh berwibawa, bendahara bertugas atas nama amanah, penghulu bendahari bertindak jujur manakala laksamana& temenggung punya dedikasi penuh ketuai angkatannya. Pasti masyarakat punya kepercayaan dan rasa hormat yang penuh pada institusi yang mengetuai mereka. Tiada sebab untuk bermasam muka, memedihkan hati andai hidup makmur di bumi yang telus pemerintahannya.

Kesimpulan:

Kita pilih. Perubahan memerlukan pengorbanan. Cita-cita perlukan usaha. Di saat setiap ahli masyarakat kita bersatu, bersetuju untuk bersetuju, bahawa setiap kita harus jalankan peranan, harus pegang pada amanah, pada masa itulah arus perubahan yang positif akan dilihat. Apabila kita menjalankan tugas atas nama amanah, memimpin dengan bijaksana, bertidak dengan jujur dan diiringi dengan penyampaian berkesan, dengan izin Yang Maha Kuasa, pasti  masyarakat hidup lebih makmur. (Tak perlu garu kepala dek keliru dengan situasi kepimpinan)

Ada persoalan lebih besar daripada persoalan institusi raja ini. Persoalan etika, rasional, kredibiliti dan ketelusan. Bagiku, empat perkara ni bagus dijadikan nadi perbincangan semasa. Empat perkara yang terlintas di fikiranku ini wajar diberi perhatian oleh diri kita sendiri andai mahu melihat Malaysia di tahap yang lebih positif.

Aku lebih suka ion positif.

Leave a Reply

XHTML: You can use these tags: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <pre> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>